‘Kau Rakam Video Aku Mandi Ke?’


Seorang pelajar perempuan sebuah kolej swasta di ibu negara tidak me­nyangka aksinya sedang mandi di dalam bilik air dirakam rakan serumahnya di Taman Bunga Raya, Setapak, di sini sejak dua bulan lalu.

Mangsa berusia 20 tahun ha­nya menyedari kejadian berkenaan ketika dia sedang mandi dan bersiap untuk ke kolej pada pagi, 7 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, mang­sa dikatakan menyewa bersama-sama suspek di sebuah rumah teres dua tingkat yang diubah suai menjadi 12 bilik itu.

Menurut beliau, tingkat bawah rumah berkenaan mempunyai tiga bilik manakala tingkat atas pula sembilan bilik selain mempunyai tandas di setiap tingkat.

“Memandangkan bilik air di tingkat bawah rumah tersebut te­lah rosak mangsa terpaksa mandi di tingkat atas.

“Suspek yang menyedari mang­sa sering mandi di tingkat atas bertindak merakam aksi mandi pelajar perempuan menggunakan telefon bimbit,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Deputi Superintenden Mohd Salahuddin Che Ali dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengambil alih tugas Pemangku Superintenden A. Asmadi Abdul Aziz yang berpindah ke Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.

Mengulas lanjut, Mohamad Roy Suhaimi memberitahu, mang­sa bertanyakan perkara terbabit kepada lelaki berkenaan selepas menyedari aksi mandinya dirakam.

Berikutan itu, mangsa meram­pas telefon bimbit dan mene­mukan pemacu cakera yang me­nyimpan 12 koleksi rakaman video melibatkan tiga mangsa lain di rumah tersebut.

“Tiga daripada mangsa tersebut sete­rusnya membuat laporan polis kira-kira jam 9.45 pagi dan pada masa sama suspek melarikan diri.

“Kita masih memburu lelaki berusia 20 tahun berkenaan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 kanun keseksaan dan 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan lelaki itu, Woo Yeong Jian dengan alamat terakhir di Sungai Buloh, boleh tampil di mana-mana balai berdekatan untuk menyalurkan maklumat.

0 Response to "‘Kau Rakam Video Aku Mandi Ke?’"

Post a Comment